Tuesday 11 November 2014

Selamat tinggal kuala lumpur, apa khabar selangor..

Sebagai manusia, aku yakin bahawa hijrah bakal membawa kepada suatu perubahan yang positif. Hijrah hati, iaitu berazam dan meninggalkan amalan dan tabiat buruk, berubah menjadi manusia yang lebih baik dan lebih positif. Hijrah fizikal, iaitu perpindahan dari satu tempat ke satu tempat lain yang diharapkan dapat mengubah nasib dan keadaan seiring dengan hijrah hati yang dilaksanakan.

Keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas, perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada pada lingkungan rahmat dan keredhaan dari Ilahi. Tanpa sifat-sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Tuhan memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka'.

Apabila umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti datang. Semoga hijrahku membawa 1001 kebaikan dan hikmah kepada semuanya. InsyaAllah.



No comments:

Post a Comment