Wednesday 28 May 2014

Stem Cell Transplant

Apa yang bakal aku coretkan di sini adalah daripada pengalaman aku sendiri. Dulu, aku tak tau  apa tu transplant. Implant gigi aku tau la.. (itu pun tengok  lecturer aku buat masa zaman student dulu. Bila kerja aku tak pernah buat lagi, setakat ni..)

Berdasarkan apa yang aku paham, Stem Cell Transplant adalah infusi sel stem yang sihat ke dalam badan untuk menggantikan sel stem yang dah rosak atau berpenyakit. Transplant sel stem ini adalah dilakukan dalam rawatan penyakit berkaitan darah seperti leukemia, limfoma atau myeloma. Transplant sel stem boleh membantu menghasilkan sel-sel darah yang sihat. Stem cell transplant juga dikenali dengan nama-nama lain seperti bone marrow transplant, peripheral blood stem cell transplant ataupun umbilical cord blood transplant, bergantung kepada sumber/lokasi sel stem itu sendiri. Stem cell transplant menggunakan sel dari badan sendiri (autologous stem cell transplant), daripada penderma (allogeneic stem cell transplant) atau daripada kembar seiras (syngeneic transplant).

Dalam kes aku, aku menjalani autologous stem cell transplant daripada peripheral blood stem cell. Dalam bahasa mudahnya, aku adalah penderma sel stem kepada badan aku sendiri, di mana sel stem yang sihat diambil daripada salur darah (peripheral blood), dan infusi sel stem yang sihat juga melalui salur darah.

Selepas menjalani beberapa sesi kemoterapi dan radioterapi, apabila doktor mengesahkan aku berada dalam keadaan 'remission' (senang paham, sel kanser dah mati), aku dinasihatkan untuk menjalani proses harvesting, iaitu proses untuk mengumpulkan sel stem yang sihat. Sel stem yang sihat akan disimpan dan digunakan sewaktu transplant nanti. Aku dimasukkan ke ward Unit Transplantasi Sel Stem, Pusat Terapi Sel HUKM Setiap hari akan dicucuk ubat untuk meningkatkan sel dalam sumsum tulang. Hari pertama, kedua, ketiga, tak rasa apa pun. Cucuk ubat pun kat bahu ja, tak la sakit sangat. Masuk hari keempat, pinggang aku mula sakit. Sakit teramat sampai tak boleh nak bangun sendiri. Nak berjalan pun kena papah. Masa nak harvesting ni, aku diberi kemoterapi juga. Badan memang letih kesan daripada kemoterapi yang diterima, ditambah dengan sakit pinggang yang teramat sangat.

Setiap hari kena check darah. Bila sel dah mula meningkat, maka proses harvesting pun dilakukan. Aku dibawa masuk ke sebuah bilik lain. Ada satu mesin kat sebelah katil aku tu. Tak pernah aku tengok mesin tu.
Ni la mesin untuk harvesting. Aku dah lupa nama dia. Proses harvesting mengambil masa lama jugak. 2 ke 3 jam jugak la. Tak boleh bangun nak ke mana-mana pun. Baring ja kat situ. Kalau rasa nak berurusan di toilet, atas katil je laa.. Ni ada lagi satu gambar wayar berselirat kat mesin tu.
Daripada salur darah, darah akan dialirkan keluar, masuk melalui mesin, ditapis dan bakinya kembali ke dalam salur darah. Maknanya ada satu tiub yang mempunyai dua cabang kena cucuk kat salur darah yang besar. Satu untuk darah keluar, satu untuk darah masuk. Dalam kes aku, doktor ambil peripheral blood ni melalui femoral line. Aku ada ambil gambar, tapi takkan nak tunjuk kat sini. Hehe.. Bila darah dah ditapis, semua sel stem yang diperlukan dapat dikumpul. Yang tak perlu dikembalikan kepada badan. Alhamdulillah sel stem yang berjaya dikumpul 11.7 juta. Aku dikira bertuah sebab ada sesetengah pesakit nak dapat 2 juta pun payah. Kena buat proses harvesting ni berulang kali. Daripada sel stem yang dah dikumpul tu, doktor akan mengira berapa banyak sel yang badan aku perlukan. Masa transplant tu, aku pakai 7.8 juta sel. Baki sel ada lagi tersimpan kat bank.

Dah selesai bab harvesting, kita cerita pulak bab transplant. Prosesnya macam biasa, aku diberikan ubat kemoterapi yang kuat untuk mengosongkan sumsum tulang. Kemudian sel stem dimasukkan dan aku hanya perlu menunggu supaya sel yang sihat tu berkembang. Proses transplant ni memang sangat-sangat menguji kesabaran aku sebab ubat kemoterapi yang diberi sangat kuat. Tambah pulak kena duduk wad lama, jauh daripada anak-anak, mama, abah.. Tiada pelawat dibenarkan kerana dikuarantin. Suami aku saja yang boleh jaga. Itu pun nak masuk bilik dia kena betul-betul bersih. Kena pakai hospital punya attire and facemask.

My husband..selfie pulak..hehe..
Rindu kat anak-anak tu tak payah cakap la. Tiap-tiap malam mimpikan anak. Aku sambut harijadi pun kat wad masa tu. Makan makanan hospital. Suami aku nak beli kek tak boleh sebab takut infeksi daripada makanan luar yang diragui tahap kebersihannya. Telefon anak kat rumah, dia nyanyi lagu 'happy birthday to mama' (of course dalam bahasa dia). Hai lagi la berkobar nak balik.. Tiga minggu aku ditahan di wad. Setiap hari kena check darah. Bila pakar dah pasti sel stem tu dah mula membiak, baru aku dibenarkan balik.

Ini jadual protokol transplant yang dah ditetapkan untuk aku. Aku ditetapkan protokol BEAM. 22hb doktor cari vein yang besar untuk insert line. Ini pakar radiology yang buat sebab tak boleh blindly insert. Kena buat under radiography, dengan ultrasound, contrast, scan bagai.. nurse ngan MA kat situ pun dah kenal aku. Regular customer la katakan. Hehe.. Bila dah ada line (femoral line), maka hydration dimulakan, dengan ubat-ubat lain.

Keesokan harinya baru dimulakan kemoterapi selama enam hari. Hari pertama Carmustine. Hari kedua, ketiga, keempat dan kelima Etoposide dan Cytosine arabinoside. Hari keenam Melphalan. Semua ubat kemoterapi yang aku dapat ni sangat kuat. Asyik nak baring ja. Rasa letih sangat. Masa kemoterapi, hari dikira secara menurun (countdown). Maka, hari ketujuh (maknanya hari 0) transplant dilakukan.
Dalam beg warna merah pucat tu stem sel. Jumlah semua 4 beg.
MO dan nurse sedang berusaha melakukan proses transplant.



 Lepas transplant, aku pun menanti dengan penuh sabar sampai la sel darah mula naik. Masa ni la yang betul-betul menguji kesabaran aku sebab kesan kemoterapi dah mula terasa. Mulut, lidah lelangit, anak tekak, tekak semua ada ulser. Aku tak boleh makan, minum, bercakap, nak telan air liur pun payah. Sakit tu tak payah cakap la. Sampai kena bagi morphine 4-hourly IM.  Doktor ambil keputusan bagi aku TPN (makan ikut salur darah). Lima hari jugak la aku dijamu ngan TPN ni. Dalam TPN ada semua nutrisi yang badan perlukan dalam bentuk yang paling ringkas. Contohnya glukosa, asid amino, lipid dan lain-lain vitamin dan mineral. Bila dah masuk salur darah, semua nutrisi tu akan diserap terus, tanpa melaui proses pencernaan di perut. Dalam erti kata lain, perut aku kosong sepanjang lima hari tu, sampai terkeluar muntah kuning. Dah lima hari tak makan, tak minum, aku paksakan diri juga minum seteguk milo tengah malam tu. Alhamdulillah, lega sikit. Keesokan paginya, waktu sarapan, aku diberi bubur. Habis semangkuk. Hehe..

Kesan morphine yang diberi tu menyebabkan aku mengalami sedikit halusinasi. Bila pejam ja nampak benda bergerak. Takut jugak masa tu. Selain itu, aku juga mengalami cirit-birit, muntah-muntah. Letih sangat. Platelet aku mula kurang menyebabkan selalu bleeding masa cirit-birit tu. Sel darah putih pun berkurang, aku demam. Bila dah demam, lagi la letih. Aku sembahyang pun atas katil. Nak pi toilet pun kena papah. Ada dua ke tiga kali aku ambil wudhuk atas katil ja. Nak mandi jauh sekali. Setakat lap-lap badan ja la. Semua tu suami aku yang uruskan. Terima kasih..

Hari keempat belas, sel darah aku mula menunjukkan tanda-tanda semakin meningkat (hari-hari kena check darah). Aku dah mula boleh berjalan, makan, dah uruskan diri sendiri. Tapi masih lemah lagi. Aku minta dengan pakar untuk pulang ke rumah, sebab dah terlalu rindu sangat ngan anak-anak (tiga minggu tak jumpa woo..). Pakar izinkan sebab dah nampak banyak perubahan yang positif.

Alhamdulillah, aku berjaya melalui dugaan yang berat ini. Terima kasih kepada pakar yang merawat iaitu Prof S. Fadillah yang sentiasa senyum dan memberi kata-kata semangat sepanjang aku di wad. Terima kasih juga kepada semua nurse wad transplant yang sabar melayani kerenah aku. Terima kasih kepada PPK yang selalu hantar makanan pujuk aku makan, walaupun aku tak boleh nak makan sebab sakit mulut. Terima kasih kepada suami aku yang sabar melayan kehendak dan perangai aku masa sakit. Terima kasih kepada mama dan abah yang tak putus-putus mendoakan kesihatan aku. Terima kepada anak-anak, Syahmi dan Syafi yang sering menanggung rindu yang tak terucap saat berjauhan dengan aku. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik kalian. Semoga kalian sentiasa berada di bawah lindungan rahmat-Nya. Amin..