Thursday 27 November 2014

Anak mengamuk

Hujan lebat tengahari itu, tatkala melewati pintu masuk sebuah shopping mall, kelihatan seorang anak lelaki sedang meraung teresak-esak, mungkin 6 ke 7 tahun umurnya aku mengagak. Di sisi kelihatan seorang lagi budak lelaki yang sedikit muda darinya, mungkin adiknya kot aku meneka (sebab pakai baju yang sama corak). Sebuah kereta berhenti di hadapan mereka, yang memandu seorang lelaki, mungkin bapanya teka ku lagi. Namun, satu peristiwa yang sangat membuat aku terkedu adalah apabila si ibu (kali ni aku yakin dengan tekaan aku) menampar pipi anak yang sedang meraung tu. Dan orang sekeliling semua hanya memerhati (termasuk aku). Geram, marah, sedih. Rasa nak tampar balik pun ada.

Sedih tengok bila anak dipukul, ditampar di khalayak orang ramai. Wahai ibu, kenapa begitu? Aku juga seorang ibu. Aku juga pernah marah anak-anak aku. Tapi, tak pernah aku tergamak bagi 'penampor buaya'. Apabila siang hari aku marah, malamnya tidurku dengan linangan air mata. Menyesal kerana hilang sabar dengan anak-anak syurga. Astaghfirullahalazim. Ampuni aku ya Allah..

Setiap kali apabila aku membawa kedua-dua anak ku (Syahmi 4 tahun, Syafi 2 tahun), mainan yang diminta. Setiap kali berhenti di Petronas untuk isi minyak, mesti nak masuk dalam kedai Mesra, nak beli mainan. Mula-mulanya aku melayan sahaja permintaan mereka. Tapi lama-lama aku perasan, apabila tuntutan tidak dipenuhi, mereka akan mengamuk. Kadang-kadang sampai berguling atas lantai. Aku pernah hilang sabar tapi aku jauhkan diri daripada anak. Takut lagi kuat syaitan menggoda. Suami aku akan sambung uruskan anak yang tengah mengamuk tu (bab pujuk anak memang aku salute ngan suami aku, sangat sabar..) Sejak daripada itu, aku sedar sesuatu perlu diubah!

Kini, bila jalan-jalan di shopping mall, aku abaikan saja permintaan mereka. Buat-buat tukar tajuk. Atau alihkan kepada sesuatu yang lain, contoh ajak main kat playground ka, ajak makan ka.. asalkan dia terlupa pasal mainan tu. Dulu, boleh kata setiap hari aku beli mainan, sekarang seminggu sekali pun jarang. Kadang-kadang  bagi juga as a reward.

Memetik satu artikel:
Pada umur lebih kurang dua tahun, kanak-kanak akan menguji had kesabaran ibubapa dan mereka tidak boleh melihat sesuatu perkara dari pandangan orang lain. Mereka ingin bebas untuk meneroka persekitaran mereka. Pada masa yang sama, ibubapa atau guru-guru meletakkan had tertentu kerana keselamatan atau sebab-sebab lain. Jika ini berlaku, mereka merasa kecewa kerana mereka mahu lakukan apa yang mereka mahu. Apabila mereka kecewa, mereka menunjukkan kekecewaan dan kemarahan mereka dengan menangis, memukul dan menjerit. Mereka belum mempunyai kemahiran untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam cara lain. Oleh itu, tantrums adalah peluang yang baik untuk kanak-kanak belajar bagaimana mengendalikan kekecewaan dan kemarahan.

Selalunya, kanak-kanak akan hentikan tantrum bila mereka dapat apa yang mereka mahu. Tingkah laku dan reaksi ibubapa juga menyumbang kepada berapa kerap tantrum akan berlaku. Kanak-kanak akan lebih cenderung melakukan tantrum jika ibubapa memberikan apa sahaja yang mereka mahukan atau jika ibubapa memberi perhatian yang lebih kepada tingkahlaku yang negatif.

Lihat tantrum secara positif! Tantrum adalah peluang baik bagi kanak-kanak mempelajari bagaimana menguruskan kekecewaan dan kemarahan, dan juga peluang yang baik bagi ibubapa untuk mengajar anak-anak mengenai kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi kekecewaan dan kemarahan.

Bagaimana mengendalikan kanak-kanak dengan tantrum?

Ketika anak anda sedang melakukan tantrum, pastikan perkara-perkara dibawah:

Pastikan anak anda selamat.
Pastikan anda sentiasa tenang, dan jangan beri perhatian kepada tingkahlaku tersebut.
Jangan hukum anak anda.
Jangan berikan ganjaran.
Jika boleh, asingkan anak anda.
Jangan biarkan reaksi orang lain mempengaruhi bagaimana anda memberi tindakbalas kepada tantrum itu.
Menghukum kanak-kanak kerana tantrum, dengan menjerit atau memukul; akan menyebabkan tantrum akan menjadi lebih teruk dalam jangkamasa pendek dan menyebabkan tingkahlaku tantrum kekal dalam jangkamasa panjang. Jika ibubapa berikan apa yang anak mahukan sebagai satu cara untuk menghentikan tantrum, tantrum akan menjadi lebih teruk lagi. Jika ibubapa melakukan perkara ini, ibubapa sebenarnya mengajar anak-anak untuk menggunakan tantrum untuk memanipulasi keadaan, dan menyebabkan tingkah laku ini berterusan hingga ke dewasa.

Abaikan tantrum. Ini adalah cara yang terbaik untuk mengendalikan tantrum. Ibubapa akan mengajar anak-anak bagaimana untuk mengendalikan kemarahan dan kekecewaan. Cari punca apa yang menyebabkan tantrum. Dengan mengetahui apa puncanya, ibubapa boleh bertindak sebelum anak-anak gagal mengawal emosi mereka.

Ibubapa boleh menggunakan ‘time-out’ jika anak-anak berumur dua tahun atau lebih. ‘Time-out’ adalah cara terbaik jika mereka yang faham mengapa ia digunakan. ‘Time-out’ akan menjauhkan kanak-kanak dari situasi yang sukar dan akan memberi masa untuk dia bertenang. Ia juga mengajar kanak-kanak bahawa tantrum adalah satu tingkah laku yang tidak boleh diterima.

Apa yang perlu ibubapa dilakukan jika tantrum berlaku di rumah?

Apabila kanak-kanak melakukan tantrum di rumah, ibubapa perlu tenang. Bawa anak anda ke tempat yang selamat untuk dibiarkan bersendirian. Tinggalkan bilik, tutup pintu, dan datang semula hanya jika anak tersebut kembali tenang. Jika anda bimbang untuk tinggalkan anak anda berseorangan, anda boleh duduk berhampiran dengannya tetapi jangan berikan sebarang tindakbalas terhadapnya. Jangan pandang anak anda. Bila dia kembali tenang, bercakap dan berbincang dengan anak anda mengenai kelakuannya.

Apa yang perlu ibubapa dilakukan apabila tantrum berlaku di tempat awam?

Bawa anak anda keluar dari kawasan awam sekiranya boleh. Bawa dia ke tempat yang ada privasi. Tempat terbaik adalah di dalam kereta, di tempat duduk bayi. Anda boleh berdiri berhampiran kereta atau duduk di dalam kereta tanpa memberi sebarang bertindak balas kepada kelakuan itu. Apabila tantrum reda, bercakap dengan anak anda mengenai kelakuannya. Jika tantrum berlaku di tempat yang anda tidak boleh bawa anak ke tempat yang lain seperti didalam kapal terbang, pastikan anda tenang dan abaikan kelakuan anak anda. Sebaik sahaja anak anda tenang, bercakap dengannya mengenai kelakuannya.

Kanak-kanak akan belajar cara yang lebih sihat untuk mengendalikan emosi. Walau bagaimanapun, jika tantrums berterusan, dia mungkin perlu bantuan untuk mengatasi kemarahan.

(Artikel ini yang ditulis oleh Dr Norharlina Bahar juga boleh dilihat di MyHealth Portal)

Mama sayang Syahmi dan Syafi ketat-ketat!! Jom main..



Tuesday 11 November 2014

Selamat tinggal kuala lumpur, apa khabar selangor..

Sebagai manusia, aku yakin bahawa hijrah bakal membawa kepada suatu perubahan yang positif. Hijrah hati, iaitu berazam dan meninggalkan amalan dan tabiat buruk, berubah menjadi manusia yang lebih baik dan lebih positif. Hijrah fizikal, iaitu perpindahan dari satu tempat ke satu tempat lain yang diharapkan dapat mengubah nasib dan keadaan seiring dengan hijrah hati yang dilaksanakan.

Keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas, perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada pada lingkungan rahmat dan keredhaan dari Ilahi. Tanpa sifat-sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Tuhan memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka'.

Apabila umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti datang. Semoga hijrahku membawa 1001 kebaikan dan hikmah kepada semuanya. InsyaAllah.