Sunday 29 June 2014

'Magic' Baby - part 1

Ramadhan tiba. Alhamdulillah,  aku rasa bersyukur sangat kerana masih diberi peluang oleh Allah untuk menikmati Ramadhan. Teringat zaman sekolah dulu berpuasa, bertarawih, moreh kat surau (musolla taman sri nibong bersama BFF tersayang, Yamin), kalau bendera jepun naik, makan sorok-sorok (pun dengan yamin jugak, haha). Masa zaman kat universiti, sahur, berbuka, atur bazar ramadhan, shopping tudung raya dengan BFF lagi seorang, Ziha. Sama-sama cari penat, kiranya jalan TAR dan jalan masjid india tu kami yang punya.haha.. Indahnya zaman muda dulu..

Alhamdulillah, masih dipertemukan lagi dengan Ramadhan. Bulan di mana Allah membuka pintu rahmat seluas-luasnya. Peluang untuk beribadah dengan sepenuh hati, merebut rahmat dari Allah. Dan apabila tibanya Syawal, hati mula sedih, apakah akan berpeluang lagi untuk bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya.

Tapi, ada suatu memori Ramadhan yang telah menjadi kenangan yang paling manis dalam hidup aku. Aku telah melahirkan zuriatku yang kedua pada malam 25 Ramadhan. Alhamdulillah.. Ada kisah di sebalik sepanjang usia kandungan dari awal kehamilan, hingga kelahirannya.

Aku disahkan hamil anak kedua ketika usia anak sulung baru mencecah setahun. Masih terlalu awal kerana aku melahirkan Syahmi secara caeserian. Tapi, apa yang lebih merisaukan adalah aku disahkan hamil ketika baru selesai menjalani kemoterapi tiga bulan yang lalu, dan conceive semasa menjalani rawatan radioterapi. MasyaAllah..

Semasa aku disahkan menghidap Primary Mediastinal B-cell Lymphoma, sebelum rawatan kemoterapi dimulakan, doktor telah memberitahu akan risiko untuk tidak boleh mengandung lagi itu ada. Aku dijadualkan untuk suatu tempoh rawatan kemoterapi yang panjang iaitu selama 12 minggu. Aku dan suami redha dan pasrah menerima ketentuan Allah bahawa Syahmi adalah satu-satunya zuriat kami. Aku kemudian menjalani rawatan radioterapi, tanpa menyedari akan kewujudan satu nyawa lain di dalam rahimku. Hari terakhir radioterapi diberi, iaitu hari ke-15, aku rasa tak sedap hati dan terus buat pregnancy test apabila tiba di rumah. Apabila test menunjukkan positif, aku mula risau. Bimbangkan keadaan nyawa di dalam rahim aku. Suami aku? Dia senyum saja..

Pakar Hematologi pun terkejut akan berita ini. Mereka menasihatkan aku supaya jangan diteruskan dengan kandungan itu. Bimbang akan kesihatan baby yang bakal lahir dan kesihatan aku yang baru pulih dari penyakit aku. Pakar Obstetrik menasihati aku akan risiko yang bakal aku hadapi sekiranya aku masih mahu meneruskan dengan kandunganku. Namun keputusan di tangan aku. Aku buntu. Suami aku berkeras supaya teruskan dengan kandungan itu. Aku ingat lagi ayat suami aku,

"Kita nak dapatkan Syahmi dulu pun payah, ni Allah dah bagi senang-senang, takkan nak buang?!"

Aku risau, takut, macam-macam perasaan masa tu. Kalaulah bayi yang bakal lahir tak sempurna, itu adalah salah aku! Kalau aku teruskan juga, aku hanya menyiksa dia. Aku menjalani radioterapi, semasa dia sedang berehat di dalam rahim aku, tanpa apa-apa perlindungan. Itu salah aku!

Semasa kandungan baru 6 minggu, di saat aku keliru untuk meneruskan kandungan atau tidak, aku menjalani ujian ultrasound. Dan di saat aku nampak di paparan skrin, jantung yang berdegup laju, dan seolah ada suatu suara yang minta diselamatkan, aku nekad, walau apa pun terjadi, aku akan teruskan dengan kandunganku, dan walau apa pun keadaannya nanti, aku akan menjaga dan takkan berkurang walau sedikit kasih-sayangku.

(End of pt.1)

No comments:

Post a Comment